Friday, November 1, 2013

Program SSDS SMK Gombak Setia - 28th Oktober 2013

PROGRAM SAYA SAYANG DIRI SAYA
28 OKTOBER 2013
 
Lokasi:
SMK Gombak Setia

Bilangan peserta:
51 orang Pelajar Puteri SMK Gombak Setia

1. Pendahuluan

Pada 28 Oktober yang lalu, Mujahadah Agro Camp (MAC) Training & Consultancy berasa amat bersyukur atas kejayaan program “Saya Sayang Diri Saya!” bersama-sama 40 orang pelajar puteri Tingkatan 1 dan 2 SMK Gombak Setia. Objektif program ini adalah untuk memberi ruang kepada peserta untuk mengenal diri dan menyayangi diri masing-masing dengan menghargai kelebihan diri yang dimiliki serta berusaha merubah sikap negatif kepada sikap yang positif.

Bagi pihak MAC, kami berbesar hati menerima jemputan kedua untuk mengendalikan program motivasi dan kepimpinan di sekolah ini. Meskipun program mini seminar  ini berlangsung hanya separuh hari, pelbagai input dan aktiviti interaktif dikongsi bersama-sama peserta.



2. Sesi Pengenalan & Ice Breaking

Program ini dimulakan dengan sesi energizer dan ice breaking. Energizer ini dilakukan bukan sahaja sebagai pencetus tenaga dan suasana, malah sebagai simbolik bahawa, setiap kejayaan dan perubahan itu memerlukan kepada gerakan (movement). Sesi ice breaking pula menguji keberanian peserta memperkenalkan diri dan cita-cita mereka dengan gaya tersendiri.


3. Slot Inspirasi: Saya Sayang Diri Saya!

“Apa yang kita FIKIR, apa yang kita RASA, apa yang kita CAKAP, apa yang kita BUAT; semua adalah DOA!”.

Demikian pesanan keramat yang disampaikan oleh Pakar Inspirasi MAC Training & Consultancy, Pn. Yazilmiwati Yaacob. Pn. Yazilmiwati, atau lebih mesra dengan panggilan Mama, banyak menekankan kepentingan dan keberanian untuk berimpian serta berkongsi tips untuk mencapai matlamat yang dicita-citakan. Para peserta juga kelihatan sangat teruja mendengar kisah kehidupan mencabar penuh inspirasi yang dilalui oleh Mama sewaktu zaman persekolahannya.



4. Slot LDK: Transformasi Hidup

Slot LDK Transformasi Hidup tidak kurang menariknya. Dalam slot ini, para peserta didedahkan dengan soalan-soalan Transformasi Hidup  yang sangat membuka minda peserta. Pelbagai soalan berkisar tentang kekuatan dan kelemahan, kejayaan dan kegagalan, serta impian dan perancangan hidup dibincangkan bersama-sama fasilitator kumpulan masing-masing. Slot ini diakhiri dengan perkongsian daripada empat orang peserta yang berani tampil ke hadapan rakan-rakan seperjuangan mereka untuk berkongsi matlamat dan perancangan transformasi diri masing-masing.


5. Cadangan Penambahbaikan

Bagi pihak MAC, sungguh terasa singkat masa bersama-sama peserta, namun kami amat bersyukur atas peluang dan kejayaan program ini. Antara cadangan penambahbaikan untuk program akan datang:

1. Kami sangat berharap agar tempoh program ini dilanjutkan supaya kami boleh menyelitkan beberapa lagi slot yang kami rasakan amat penting dan bermakna untuk dikongsikan bersama-sama peserta.

2. Lebih menarik lagi jika program seperti ini dijalankan secara bermalam di tapak-tapak perkhemahan atau di tapak MAC sendiri. Dengan ini, pastinya hubungan yang terjalin di antara peserta dan fasilitator akan lebih erat dengan suasana dan pelbagai aktiviti yang menuntut semangat kerjasama dan berpasukan.


6. Penutup
Diharapkan program ini mampu menyuntik semangat baru dalam diri para peserta untuk memperkaya diri mereka dengan akhlak positif dan menjadikan mereka lebih bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam persekolahan sebagai tiket meniti kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

Disediakan oleh:
NORHAZIRAH BINTI NORDIN
PENGARAH PROGRAM SAYA SAYANG DIRI SAYA,
MUJAHADAH AGRO CAMP TRAINING & CONSULTANCY

No comments: